Pengiklanan digital bantu usahawan promosi produk perniagaan
- centurym2 sm
- Jun 12, 2022
- 2 min read

Yunus (tiga dari kiri) bersama-sama Manikandamurthy (tiga dari kanan) menyerahkan dokumen memorandum selepas sesi menandatangani dokumen tersebut.
KOTA KINABALU: Kaedah pengiklanan digital (Programmatic Advertising on Digital Billboard) mampu membantu usahawan dan peniaga kecil dan sederhana di Sabah mempromosikan produk perniagaan dan perkhidmatan mereka.
Pengarah Urusan Sky Blue Sdn Bhd, Datuk Manikandamurthy Velayoudam berkata, dalam suasana perniagaan yang begitu mencabar serta ekonomi negara yang baharu meningkat, maka strategi pengiklanan digital mampu membantu perniagaan mereka dengan kos yang mampu milik.
Katanya, ‘Programmatic Advertising On Digital Billboard’ adalah iklan digital yang memanfaatkan kecanggihan ‘Artificial Intelligence’ (AI) untuk menyasarkan pelanggan dengan lebih spesifik.
“Ia juga merupakan kaedah automatik untuk membeli mahupun menjual iklan dengan lebih mudah dan dapat menghubungkan antara pelanggan, pengiklan dengan penerbit dengan lebih cepat.
“Platform ini dapat memudahkan para pengiklan dan peniaga untuk menjangkau pelanggan dengan lebih luas melalui cara membeli ruang iklan di pelbagai penerbit iklan secara automatik.
“Tambahan pula, kadar pengiklanan yang dikenakan oleh pengendali projek ini, lebih murah dan mampu ditanggung oleh usahawan sederhana dan juga dapat menikmati ruang lingkup pengiklanan yang lebih luas,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) diantara Yunus Property Consultant Sdn Bhd dengan Sky Blue Sdn Bhd yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Pengarah Syarikat Yunus Property Consultant Sdn Bhd, Datuk Mohd. Yunus Apil menjelaskan pelancaran pengenalan pemasangan ‘LED Advertising Screen’ dan juga pengiklanan gergasi telah diadakan pada 12 April yang lalu.
“Sebanyak 4000 skrin pengiklanan digital dan 48 skrin pengiklanan gergasi akan dipasang di seluruh bandar-bandar utama yang merupakan laluan dan tumpuan orang ramai di seluruh Sabah dengan kerjasama dari pihak berkuasa tempatan yang terlibat.
“Perancangan dan kajian telah dibuat, dan projek pemasangan akan dilaksanakan secepat mungkin dalam tempoh dua atau tiga bulan ini,” katanya lagi.
Comments